Tuesday, 16 April 2013

Ailurophilia dan Ailurophobia

Assalamualaikum w.b.t Salam Mahasiswa untuk semua.

Pada entri kali ini saya ingin berkongsi sedikit tentang perasaan sayang dan takut manusia terhadap kucing iaitu Ailurophilia dan Ailurophobia.

Ailurophilia



Pasti dalam kalangan rakan-rakan kita terdapat rakan yang sangat menyayangi kucing yang sanggup membela atau memberi makanan kepada kucing-kucing yang tidak bertuan. Tetapi lain halnya dengan manusia yang terlampau sayang kepada kucingnya. Insan seperti ini diberi gelaran sains Ailurophilia, iaitu insan yang mempunyai rasa kasih sayang berlebihan terhadap kucing.

Penghidap Ailurophilia mempunyai rasa kasih sayang yang terlampau pada kucingnya walaupun kucingnya telah tidak bernyawa lagi. Terdapat kes yang berlaku di California di mana sepasang suami isteri menyimpan 394 bangkai kucing di dalam freezer akibat terlalu kasih dengan kucing-kucing jalanan yang mereka bela.

Ailurophobia


Ailurophobia adalah salah satu jenis gangguan spesifik fobia yang ditentukan dengan timbulnya ketakutan tidak rasional ( irrational thinking ) terhadap kucing. Seseorang yang takut atau fobia terhadap kucing mungkin terjadi kerana pengalaman masa lampau atau sememangnya ianya berlaku semula jadi atas kurangnya pendedahan terhadap haiwan comel tersebut.

Tetapi sekiranya anda perasan, kucing lebih tertarik dengan manusia yang menunjukkan tanda-tanda takut terhadap mereka. Ini kerana orang yang sukakan kucing akan memberikan bahasa tubuh yang menjemput kucing untuk digesel dan dimanja. Berbanding si fobia kucing yang akan menunjukkan bahasa tubuh seperti duduk diam, merapatkan tangan dan kaki serta agak kaku posturnya.

Si kucing akan nampak bahasa tubuh serta posisi si fobia kucing adalah sangat kurang faktor mengancam keselamatan, dan akhirnya lebih tertarik kepada mereka untuk diterokai dan disiasat kemudiannya. Adakalanya tindakan si kucing ini telah menyebabkan sesetengah manusia menjerit ketakutan.

Kesimpulannya tidak semua manusia mampu menerima kucing sebagai haiwan peliharaan yang comel kerana terdapat juga manusia yang merasakan kucing ancaman keselamatan terhadap mereka. Tetapi ingat bahawa kucing juga makhluk Allah yang bernyawa, walau kita takut atau benci terhadap kucing, janganlah kita menyeksa dan mendera mereka sebaliknya lindungilah mereka. Contohilah Abu Hurairah yang cintakan kucing sehingga digelar Bapa Kucing oleh Rasulullah S.A.W.


Monday, 15 April 2013

Buta Politik?

Assalamualaikum w.b.t Salam Mahasiswa untuk semua.

Berikut ialah petikan daripada seorang penyair German iaitu Bertolt Brecht. Jika kita amati kata-katanya  memang terdapat kebenarannya. Berdasarkan pemerhatian saya masih ramai Mahasiswa yang tidak mengambil tahu akan perjalanan politik yang berlaku di Malaysia sedangkan Mahasiswa merupakan pelapis yang akan memimpin negara satu hari nanti. Kita tidak perlu menjadi taksub kepada parti-parti tertentu tetapi cukup sekadar mengambil berat akan kisah politik di negara sendiri.

Persoalan yang ingin saya ketengahkan, mengapa terdapat segelintir Mahasiswa yang tidak mengambil peduli tentang politik? Siapa yang lebih dikatakan "Buta Politik" atau bahasa sopannya kurang celik politik, Siswa atau Siswi?

Pada pendapat saya Siswa mahupun Siswi memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri dalam pengetahuan politik semasa. Adakalanya Siswa kelihatan lebih agresif berbanding Siswi tetapi ada juga Siswi yang lebih lantang meyuarakan pendapat politik berbanding Siswa. Marilah kita bincangkan bersama sebagai cara untuk mengetengahkan suara kita sebagai Mahasiswa.

Sunday, 14 April 2013


Assalamualaikum w.b.t. Salam Mahasiswa untuk semua.

Mahasiswa yang dihormati sekalian sudahkah anda mendaftar mengundi terutamanya mahasiswa yang sudah berusia 21 tahun? Pilihanraya ke-13 sudah semakin hampir dan bahangnya kian dirasai oleh kita semua kerana tarikh pilihanraya telah ditentukan iaitu pada 5 Mei 2013. Sebagai Mahasiswa yang mempunyai intelektual tinggi kita haruslah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi kerana ianya hak anda sebagai warganegara Malaysia.

Mahasiswa pasti tertanya-tanya bagaimana caranya untuk mendaftar. Bagi memudahkan kita semua, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mewujudkan kemudahan memuat turun Borang Pendaftaran Pemilih atau Borang A secara online menerusi laman web www.spr.gov.my.


Bagaimana hendak mendaftar sebagai Pemilih?


  • Pergi sendiri ke Pusat Pendaftaran;
  • Bawa bersama Kad Pengenalan anda;
  • Pastikan Borang A diisi dengan betul oleh petugas sebelum anda menandatangani borang; dan
  • Simpan satu salinan borang berkenaan sebagai bukti pendaftaran anda

Siapa yang layak menjadi Pemilih / Pengundi?


  • Warganegara Malaysia;
  • Sudah mencapai umur 21 tahun;
  • Menetap di mana-mana Bahagian Pilihan Raya di Malaysia; dan
  • Tidak hilang kelayakan.

Tatacara Pengisian dan Penghantaran Borang A


  1. Sila pilih jenis Borang A samada Parti Politik atau Wakil Jabatan atau Individu;
  2. Daftar mengikut alamat terkini di JPN;
  3. Pastikan Borang A diisi dengan betul;
  4. Hantar sendiri permohonan ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau Penolong Pendaftar SPR;
  5. Sila kepilkan salinan MyKad semasa menghantar Borang Permohonan;
  6. Simpan satu salinan borang berkenaan sebagai bukti pendaftaran anda.

Diharap perkongsian ini dapat membantu Mahasiswa sekalian untuk menjadi pengundi pada PRU-13 akan datang. Ingat undi anda mampu membawa kesan besar pada negara. Usahlah kita hanya bercakap belakang tanpa bertindak kerana kita haruslah menggunakan kuasa kita sebagai Mahasiswa untuk menentukan pentadbiran negara.

Friday, 12 April 2013

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah blog NeoMahasiswa sedang dalam pembinaan dan penyusunan. Saya juga sedang cuba untuk menyesuaikan diri dan mengadaptasi segala ilmu-ilmu bloggers. In Sha Allah NeoMahasiswa akan diterbitkan secara rasmi dalam masa terdekat. Mohon rakan-rakan menyokong dan sudi memberi tunjuk ajar kepada saya. Sekian untuk entry kali ini.

Wednesday, 10 April 2013

Assalamualaikum w.b.t

Entry pertama saya semestinya dimulakan dengan kata-kata aluan yang tak seberapa ni. Saya merupakan pendatang baru dalam dunia bloggers ini dan tujuan membina blog ini adalah sekadar hiburan dan berkongsi maklumat bersama. Sebarang tunjuk ajar adalah sangat dialu-alukan :-)